Saturday, July 7, 2007

Dari Fail Syariah-Kes Farak Nikah

Nuraizah Chin Bt. Abdullah-Pemohon

Lwn.

Jamry Bin Ahmad-Responden

[Dalam Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor Darul Ehsan,

(Tuan Wan Mahyuddin bin Wan Muhammad, Hakim), 24 Oktober 2005]

[Kes Mal Saman NO. 10006-011-100-2005]

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003-Permohonan untuk memfarakkan pernikahan-pernikahan berlangsung di negeri Perak-pemohon adalah seorang mualaf-menggunakan wali hakim yang tidak diberi tauliah oleh Sultan-sijil pernikahan palsu-pernikahan batil-hukuman berkahwin tanpa wali-pemohon bersumpah dengan yamin al-mutammimah- pernikahan pemohon dan responden difarakkan oleh mahkamah.

Fakta Kes

Kes ini mula difailkan pada 27 April 2005. Pemohon telah menggunakan khidmat peguam syarie pada 29 Jun 2005. Mahkamah ini berbidangkuasa mendengar kes ini kerana pemohon telah tinggal dan bermastautin di dalam Daerah Sepang. Ini adalah permohonan untuk membubarkan atau memfarakkan pernikahan antara pemohon dan responden berdasarkan peruntukkan seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Pemohon adalah seorang mualaf yang telah memeluk Islam pada 09.09.2002.

Berdasarkan surat perakuan nikah ditanda P1 pemohon dan responden telahpun bernikah pada tarikh 14.11.2002 di Perak. Pernikahan ini telah diurus dan diatur sepenuhnya oleh responden dan menggunakan wali hakim. Berdasarkan kepada afidavit bertarikh 27 April 2005 antara alasan pemohon untuk memfarakkan pernikahan ini dengan responden ialah kerana pemohon merasakan pernikahannya dengan responden tidak sah mengikut hukum syarak kerana diragui wali hakim yang menikahkan mereka. Wali hakim yang menikahkan mereka juga tidak diiktiraf dan tidak dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP) serta tidak ditauliahkan sebagai wali hakim. Selain itu, terdapat satu surat sokongan dari Jabatan Agama Islam Perak, Pejabat Agama Islam Ipoh dan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang yang telah mengesahkan sijil pernikahan yang telah dikeluarkan adalah palsu.

Diputuskan selepas Plaintif melafazkan yamin al-mutamimah:

(1) Mahkamah memfarakkan pernikahan antara pemohon dan responden

(2) Responden dihalang daripada mendekati Pemohon

(3) Surat nikah asal bernombor 0005824 di Perak dibatalkan

Peguam Syarie:

Yang Bijaksana Encik Juraish bin Kamuaruddin daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor mewakili pemohon

Surah dari al-Quran yang dirujuk:

1. Surah al-Baqorah ayat 232

Hadith yang dirujuk:

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Sultan menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali”.

Hadith Riwayat Abu Daud, sabda rasulullah SAW; “Tidak ada nikah tanpa wali”.

Kitab-Kitab yang dirujuk:

1. Wahbah Zuhaily, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Jilid 9, muka surat 6972-6973

2. al-Fiqh al-Manhaji ala mazhab al-Imam al-Syafei, Dar al-syamiyyah, Jilid II, 2000,muka surat 57-60.

Undang-undang yang dirujuk:

1. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

2. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003

3. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003

4. Enakmen Undang-Undang Kelaurhga Islam (Negeri selangor) 2003

Kes-kes yang dirujuk:

1. Kes Zainal Abidin bin Mohamed lwn Norziah binti Mohd. Nor (Jun 1998), Jurnal Hukum, m.s. 91

Alasan Penghakiman:

Sepanjang perbicaraan, kes ini telah didengar sebelah pihak kerana responden tidak hadir dan tidak dapat dikesan. Saman bagi kes ini telahpun sempurna apabila iklan telah dikeluarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia yang memaklumkan responden hendaklah hadir ke mahkamah ini pada 20 Jun 2005. Di dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, menyebutkan di dalam seksyen 48(3) “penyampaian ganti hendaklah mempunyai kesan yang sama seperti penyampaian ke diri”. Berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pihak pemohon terdapat beberapa isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah ini. Isu tersebut adalah seperti berikut:

Pertama; Siapakah sebenarnya yang berhak menjadi wali bagi pihak pemohon?

Kedua; adakah jurunikah yang menikahkan pasangan ini mempunyai kuasa pewalian sebagai wali hakim atau wali raja yang telah dilantik oleh Sultan?

Ketiga; adakah surat dari Jabatan Agama Islam Perak, Pejabat Agama Islam Ipoh dan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang boleh diterima sebagai qarinah yang kuat untuk membuat keputusan kes ini?

Keempat; apakah hukum pemohon berkahwin tanpa wali dan perkara yang menyusul selepasanya?

Bagi menjawab isu pertama iaitu siapakah sebenarnya yang berhak menjadi wali bagi pihak pemohon? Pemohon di dalam kes ini adalah seorang mualaf yang telah memeluk agama Islam pada 9 September 2002. Ini berdasarkan satu surat akuan memeluk agama Islam bernombor 01981 dari Pejabat Agama Islam Segamat, Johor yang telah diserahkan ke mahkamah semasa pendaftaran. Sesungguhnya setiap perkahwinan itu hendaklah dilakukan mengikut hukum syarak dan mengikut undang-undang. Di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003:

seksyen 7 (1) Sesuatu perkahwinan di Negeri Selangor hendaklah mengikut peruntukan Enakmen ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut Hukum Syarak oleh-

(a) wali di hadapan Pendaftar;

(b) wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar atau

(c) sebagai wakil wali.

Seksyen 7(2) Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali dari nasab, mengikut hukum syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja.

Siapkah wali? Di dalam Kamus Istilah Undang-undang Keluarga Islam yang ditulis oleh Dr. Zaleha Kamaruddin dan Raihanah Abdullah menjelaskan wali menurut hukum syarak bererti orang yang diberi hak wilayah. Wilayah dari segi bahasa bererti kasih sayang dan pertolongan dari Allah s.w.t. Dari segi hukum syarak pula ialah perlaksanaan kata-kata perintah, persetujuan dan seumpamanya ke atas diri orang lain demi menjaga hal ehwalnya. Dalam hal aqad perkahwinan wali yang dimaksudkan ialah ke atas wanita di dalam sesuatu aqad perkahwinan, sama ada wali mujbir atau wali bukan mujbir atau Sultan (Qadhi) bagi orang yang tidak berwali. Kewajipan wali di dalam aqad pernikahan adalah wajib menurut hukum syarak. Dalilnya, firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqorah ayat 232;

maksudnya; Apabila kamu mentalakkan isteri-isterimu, lalu habis eddahnya maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak).

Susunan wali mengikut hukum syarak seperti berikut:

1. Bapa

2. Ayah kepada bapa (datuk)

3. Adik beradik lelaki seibu sebapa

4. Adik beradik lelaki sebapa

5. Anak saudara (anak kepada adik beradik lelaki seibu sebapa)

6. Anak saudara (anak kepada adik beradik lelaki sebapa)

7. Bapa saudara seibu sebapa (adik beradik lelaki kepada bapa yang seibu sebapa)

8. Bapa saudara sebapa (adik beradik lelaki kepada bapa yang sebapa)

9. Sepupu (anak lelaki kepada bapa saudara yang seibu sebapa)

10. Sepupu (anak lelaki kepada bapa saudara yang sebapa)

Jika kesemua wali di atas tidak ada, walinya adalah wali sultan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Sultan (pemerintah) menjadi wali bagi sesiapa yang tidak ada wali”.

Berdasarkan keterangan pemohon, tidak ada seorangpun dari saudara mara atau nasab pemohon yang telah disenaraikan di atas memeluk agama Islam. Maka dengan ini, jelaslah pemohon tidak mempunyai wali untuk bernikah dengan responden. Nabi SAW telah bersabda maksudnya; “Tidak ada pernikahan melainkan dengan adanya wali dan dua orang saksi yang adil. Jika pernikahan berlaku tanpa kehadiran mereka, nikah itu batil”(Hadith Riwayat Ibnu Hibban). Di dalam hadith yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya; “Tidak ada nikah tanpa wali” (Hadith riwayat abu Daud).

Oleh itu, wali yang sebenarnya bagi pihak pemohon adalah Sultan di tempat pemohon bermastautin. Wali tersebut juga dikenali sebagai wali raja atau wali hakim. Di dalam seksyen 2 (1) “wali raja” ertinya wali yang ditauliahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dalam hal negeri selangor, oleh Yang di-Pertuan Agong, dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja, dalam sesuatu negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab. Sepatutnya di dalam kes ini sebelum berkahwin dengan responden pemohon hendaklah memfailkan kes permohonan kebenaran bernikah secara wali hakim mengikut seksyen 18 (c) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Bagi merungkaikan isu kedua iaitu persoalan adakah jurunikah yang menikahkan pasangan ini mempunyai kuasa pewalian sebagai wali hakim yang dilantik oleh Sultan? Di dalam ekshibit P1 iaitu surat akuan nikah bernombor 0005824, ruangan nama wali hanya ditulis WALI HAKIM sahaja dan tidak ditulis butir-butir siapakah nama sebenar wali tersebut. Untuk membuat keputusan samada wali hakim ini dilantik oleh Sultan ataupun tidak maka saya telah merujuk kepada dua ekshibit penting yang dikemukakan pemohon dan ditandakan P3 (Pengesahan Dokumen Nikah dari Pejabat Agama Islam Ipoh) dan P4 (Mengesahkan Surat Perakuan Nikah Bil. 311/2002 dari Jabatan Agama Islam Perak).

Kedua-dua surat ini memaklumkan bahawa ekshibit P1 iaitu surat akuan nikah bernombor 0005824 dalam bil. Daftar 311/2002, bertarikh akad nikah 14.11.2002 adalah PALSU dan ianya tidak dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam Ipoh dan pihak Jabatan Agama Islam Perak tidak bertanggungjawab terhadapnya. Berdasarkan maklumat ini, saya yakin wali hakim atau wali raja yang telah digunakan oleh pemohon semasa bernikah dengan responden pada 14.11.2002 tidak dilantik dan tidak diberi tauliah oleh Sultan Perak. Oleh itu juga, wali hakim tersebut tidak mempunyai kuasa perwalian ke atas pemohon dan pernikahan yang telah dilangsungkan itu boleh disabitkan pernikahan batil kerana seolah-olah bernikah tanpa menggunakan wali. Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW maksudnya; “Tidak ada pernikahan melainkan dengan adanya wali dan dua orang saksi yang adil. Jika pernikahan berlaku tanpa kehadiran mereka, nikah itu batil”(Hadith Riwayat Ibnu Hibban). Saya juga berpandangan pernikahan yang telah diuruskan oleh responden ini sebenarnya telah dilakukan secara sindiket yang tidak diketahui siapa wali hakimnya dan sijil nikah tersebut saya umpamakan sebagai “sijil nikah terbang” kerana ianya telah tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa agama negeri dan tidak mengikut prosdur yang telah ditetapkan.

Tentang persoalan isu ketiga iaitu adakah surat dari Jabatan Agama Islam Perak, Pejabat Agama Islam Ipoh dan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang boleh diterima sebagai qarinah yang kuat untuk membuat keputusan kes ini? Ketiga-tiga dokumen ini saya putuskan adalah dokumen awam. Seksyen 57 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan; dokumen yang berikut ialah dokumen awam-

(a) Dokumen yang mengandungi tindakan dan rekod tindakan-

(i) kuasa pemerintah berdaulat

(ii) badan rasmi dan tribunal; dan

(iii) pegawai awam, perundangan, kehakiman dan eksekutif, sama ada bagi Persekutuan atau Negeri atau bagi negara asing; dan

(b) rekod awam yang disimpan di Malaysia mengenai dokumen persendirian.

Oleh itu, saya tafsirkan ketiga-tiga dokumen tersebut adalah di dalam kategori 57 (a)(iii). Soal kedua, adakah ianya boleh dijadikan qarinah? Sesungguhnya dokumen awam boleh dijadikan qarinah yang kuat sebagai bukti sokongan di dalam membuat keputusan kes ini. Seksyen 23 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa; Sesuatu catatan dalam mana-mana daftar, rekod atau mana-mana buku awam atau buku rasmi yang lain yang menyatakan sesuatu fakta persoalan atau fakta relevan dan dibuat oleh seseorang pengkhidmat awam pada menunaikan tugas rasminya atau oleh mana-mana orang lain pada melaksanakan sesuatu kewajipan yang diperintahkan dengan khususnya oleh undang-undang negara di mana daftar, rekod atau buku itu disimpan, ia dengan sendirinya qarinah.

Tentang isu keempat; iaitu apakah hukum pemohon berkahwin tanpa wali dan perkara yang menyusul selepasnya? Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ala mazhab al-Imam al-Syafei, Dar al-syamiyyah, Jilid II, 2000 dalam muka surat 58 menjelaskan bahawa apabila seorang perempuan mengahwinkan dirinya sendiri tanpa wali, nikahnya dikira batal. Jika berlaku persetubuhan selepas perkahwinan, kedua-dua pasangan wajib dipisahkan kerana akad itu batal. Perempuan berhak (wajib) mendapat mahar misil samada disebut dalam akad ataupun tidak. Dalil hukum tersebut ialah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Majah dan Tarmizi maksudnya :-

“Daripada Aisyah RA mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa kebenaran walinya, nikahnya adalah batal. Nabi mengulangnya sebanyak tiga kali. Jika berlaku persetubuhan, baginya mahar misil sebagai balasan menghalalkan farajnya. Jika mereka berselisih faham, sultan menjadi wali bagi sesiapa yang tidak ada wali”.

Mereka yang bersetubuh hasil daripada pernikahan yang batal ini (perkahwinan tanpa wali) tidak dikenakan hukum hudud kesalahan zina kerana adanya syubhah. Syubhah tersebut ialah ulama berselisih pendapat tentang kesahihan nikah tanpa keizinan wali. Hukum hudud digantung pelaksanaannya ketika ada syubhah. Walau bagaimanapun, mereka dikenakan hukuman ta’zir. Ta’zir ialah hukuman yang tidak termasuk dalam hukum hudud. Qadi menentukan bentuk hukuman yang mampu menghalang daripada berlaku dan memberi pengajaran kepada pelakunya. Sungguhpun demikian pemohon atau responden tidak dikenakan apa-apa hukuman kerana kes yang difailkan ini adalah kes mal dan bukanya kes jenayah syariah.

Keputusan

Berdasarkan keterangan yang telah diberikan oleh pihak pemohon saya mengarahkan pemohon bersumpah dengan yamin al-mutammimah bagi menguatkan perintah. Saya hanya akan membuat keputusan setelah pemohon bersumpah . Dengan sumpah yamin al-mutammimah ini berserta dengan alasan-alasan ini maka saya membuat keputusan seperti berikut:

(1) Mahkamah mengiktiraf dan berpuashati dengan hasil siasatan dan laporan bertulis dari Jabatan Agama Islam Perak, Pejabat Agama Islam Ipoh dan Pegawai Agama Islam Daerah Sepang, Selangor.

(2) Maka dengan ini, pernikahan di antara pemohon dan responden bertarikh 14.11.2002 difarakkan oleh mahkamah.

(3) Pemohon hendaklah bereddah mulai hari ini.

(4) Responden dihalang dari mendekati pemohon.

(5) Surat akuan nikah bernombor 0005824 dalam bil. Daftar 311/2002, bertarikh akad nikah 14.11.2002 dibatalkan mulai hari ini.

(6) Pembatalan pernikahan ini hendaklah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang

Thursday, July 5, 2007

kubu


kubu salahuddin al-ayubi

salam

salam
baru jah siap register blog ni..
dah ramai sangat pakai ada..